Ahad, 20 Disember 2009

sekadar pengajaran buat teman-teman hawa dan juga diriku

Posted by amirafatin at 8:37 PTG 1 comments

"Aku cinta padamu!, jangan tinggalkan ku!"..."I love u sooo much honey"... "Saya tak boleh hidup tanpa awak!"..."Saya sanggup mati untuk mendapatkanmu"​​.​​.​​.​​"​​Saya sanggup lakukan apa sahaja untukmu"​​.​​.​​.​​"​​Jangan lukakan hati I, I tak tahu kat mana tempat nak mengadu kalau takde u"..


Itulah antara kata-kata yang indah yang selalu diungkapkan oleh wanita kepada teman lelaki mereka. Seolah-olah teman mereka yang menciptakan dan meniupkan roh ke dalam jiwa mereka. Kata-kata ini boleh menyebabkan menjadi syirik kepada Allah Azza Wajalla yang telah menciptakan manusia dan seluruh alam ini. Nauzubillah.


Mereka bertudung. Mereka berkalimah syahadah. Mereka mengaku Muslimah. Tetapi hakikatnya mereka adalah pendusta!. Adakah seseorang itu disebutkan Muslim yang baik hanya selepas ianya berkalimah syahadah mengaku 'tiada Tuhan melainkan Allah, Muhammad itu pesuruh Allah' tetapi tidak melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulnya?.

Siang malam menghabiskan duit hampir RM 100 sehari hanya nak 'topup' handphone untuk bermesej dengan teman lelaki mereka. Apa yang dimesejkannya?​​.​​ 'U dah makan?"...."U ada kat mana?"...'I miss u sayang"..."U tak tidur lagi ke?..."U ada teman baru ke?"...itulah antara mesej2 mereka. Bayangkan kalau mereka menggunakan duit tersebut untuk di jalan Allah. Print artikel Islam. Pastu potostat banyak2. Then edarkan kepada orang ramai. Subhanallah!. Berapa banyak orang mendapat manfaat daripadanya?. Berapa banyak pula pahala yang mereka dapat?.

Gadis lari daripada rumah mengikut teman lelaki. Bukak je surat khabar. Ha itulah antara tajuk yang best. Tunjuklah gambar ibu bapa dengan muka sedihnya merayu "pulanglah anakku..mak masih sayang padamu..kenapa buat mak macam ni"?. Tak reti bersyukur!. Derhaka!. Itu sahaja perkataan yang sesuai untuk manusia sebigini. Bayangkan hanya baru mengenali seorang lelaki yang tak sampai seminggu boleh terus hanyut dan mengenepikan ibu bapa mereka yang telah membela mereka berbelas tahun?. Cubalah refresh balik bagaimana Ibumu betapa seksanya selama 9 bulan mengandungkanmu​,​​ membawamu ke sana sini. Ayahmu pula tak henti2 keluar ke sana sini mencari rezeki untuk menyara kehidupanmu. Akhirnya apa yang mereka dapat?. Mereka hanya dibalas najis. Bahkan ada diantara mereka membalas jasa ibu bapa mereka dengan 'mengandung anak haram'​​.​​.​​.​​petuiih.​​ Tidak ada rasa malukah kamu?. Di mana lelaki kamu yang selalu bersamamu?. Dah lari dah?. Ala ciannye.

"Nah!. Ambillah tubuhku!. Ini untuk u sayang. U mintak apa saja I akan kasi. Tapi please dont leave me honey"..wah best!. Terus lah teman lelakinya melahab dan meratah tubuh teman wanitanya. Yummy sedap betul!. Esok abang nak lagi boleh?. "No problem dear. Asalkan U tak cari wanita lain. I sanggup". Wah!. Tersenyum luaslah teman lelakinya!. Best ni. Ada can. Beraksilah pasangan tersebut dengan aksi yang penuh dengan kasih sayang syaitan. Ada yang beraksi dengan bertudung tanpa pakaian. Ada yang beraksi telanjang. Ada yang beraksi kat taman-taman. Ada yang beraksi kat depan masjid!. Wah happy betul pasangan ni. Siap rakam-rakam guna phone untuk buat kenangan. 2-3 minggu selepas itu. Si awek call teman lelakinya.

'Abang!. I ngandung ni!. Mcm mana ni?. U kenelah jadi suami I. U kena tanggungjawab!​​.​​ U kena ingat janji U dulu!."..Si teman lelaki "​​.​​.​​.​​.​​.​​.​​.​​.​​.​​.​​.​​.​​.​​.​​.​​.​​.​​.​​.​​"​​.​​ Kenapa u tak jawab honey?. Tanya si awek. Apa yang dijawab si teman lelaki? "​​.​​.​​.​​.​​.​​Tut.​​.​​.​​.​​Tut.​​.​​.​​.​​Tut.​​.​​.​​"​​.​​.​​ Handphone ditutupkan!. Bukan main terkejut si awek!. Call lagi si teman lelaki. Kali ni dia angkat. Tapi suara orang perempuan. Kata perempuan tersebut "..Please try later..". Jeng jeng jeng!​​!​​!​​.​​.​​.​​hampa nak buat apa time tu?. Nangis air mata darah?. Sudah tidak berguna. 4 Bulan selepas itu. Ambik kau. Perut sikit punya besar. Mak ayah ingat anak dah jadi gemuk sebab makan banyak. Selama ni badan kecik je. Oh! rupa2nya dia mengandung!. "Keluar kau dari rumah ni!. Kau bukan anak aku!. Aku tak pernah ada anak kotor macam kau!."..Maka keluarlah wanita tersebut dengan penuh hina dan kesedihan yang tidak terhingga.

Ke mana nak pergi?. Oklah rumah kawan. "Eh asal awak gemuk semacam ni?. Kenapa awak nangis ni?. Ada problem"?. Tanya si kawan. Dia menjawab. "I baru kena halau dari rumah. Actually I hamil anak bf I. Tapi dia dah lari.​​"​​.​​.​​.​​Betapa terkejutnya si kawan. "Eh pergilah kau dari sini!. Aku tak pernah ada kawan yang perangai buruk macam kau ni!." Kedegang bunyi pintu ditutup. Apa kes?. Ha nangislah kat situ. Ibu bapa dah halau. Sekarang ni kawan dah halau. Ingatkan nak pergi cari Allah. Pergi masuk masjid ambik wudhuk pi sembah Allah.

Sampai masa yang cukup. Anak yang dikandungnya pun keluar. Oh!. Ingatkan nak peluk cium anak tu dengan penuh kasih sayang!. Dia pergi tikam anak tu!. Dia cuba sumbat dalam lubang tandas!.

. Dia buang dalam tong sampah.

Dia biarkan anaknya dirobek2 anjing!. Celakalah kau perempuan!. Dahlah berzina, kemudian membunuh pula?!. Last2. Hidup dah tertekan. Maka dia ambil keputusan naik atas bangunan paling tinggi. Kemudian menjadi ala-ala superman. Nak buat apa?.

OH TIDAK!!. DIA BUNUH DIRI!. Maka melayanglah wanita itu menghempas ke tanah. Terburai isi perut, otak dan segala2nya. Maka tamatlah riwayat hidup wanita itu yang pastinya akan mendapat azab Allah di akhirat. Ingat sudah selesai selepas membunuh diri?. No way!. U tunggu azab Allah!. AZAB YANG PEDIH DAN SEPEDIH2NYA!​​!​​!​​.​​.​​.​​SAKIT!​​.
​​
Sedarlah wanita. Kenapa kamu sanggup menangis hanya disebabkan manusia?. Kenapa kamu sanggup membuatkan fikiranmu pening hanya kerana memikirkan teman lelaki mu?. Kenapa kamu sanggup mengenepikan Syurga hanya untuk Neraka?. Kenapa kamu sanggup tinggalkan pelajaran kamu hanya untuk teman lelaki?. Kerana kamu sanggup menderhakai ibu bapamu hanya kerana ingin mengikut teman lelaki mu?. Nak menyanyangi manusia tidak salah. Bahkan ianya wajib..Nabi bersabda. "Tidak akan diterima keimanan seseorang daripada kalian, sebelum ia mencintai sesama Muslim sebagaimana Ia mencintai dirinya sendiri". Cintailah mereka dengan penuh kasih sayang. Tetapi cinta kepada Allah adalah melebihi segala2nya!.

Wanita!. Ambillah pengajaran atas apa yang berlaku terhadap rakan-rakanmu yang hilang punca hidup. Ambilah pengajaran. Dan berhati2lah.


"Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan." (Fathir, 37)


Kenapa bila terjadi sesuatu masalah kamu tidak berhadapan dan melutut di hadapan Allah?. Takut yang Allah tidak menerimu?. Dosamu banyak? Lebih banyak daripada air di lautan?. Wanita!. Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang!. Sekalipun kau syirik kepada Allah, kemudian kamu bertaubat!. Nescaya Allah menerima mu!. TAUBATLAH! KEMBALILAH KEPADA ALLAH!.


Bukti cinta Allah kepadamu!. Dalam sebuah Hadits Qudsi:

"Wahai anak Adam, sesungguhnya jika kamu berdoa kepadaKu dan berharap kepadaKu, necaya Aku mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu mencapai awan di langit kemudian kamu meminta ampunan kepadaKu, Nescaya Aku mengampuni dosa-dosamu terdahulu dna Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya kamu datang kepadaKu dengan mebawa dosa-dosa sepenuh bumi kemudian kamu datang kepadaKu dengan tidak menyekutukanKu dengan suatu apapun, maka Aku memberi ampunan kepadamu sebanyak dosa-dosa tersebut."

cerpen pilihan ::ekspedisi cinta

Posted by amirafatin at 7:29 PTG 0 comments

Prolog: Memori

Aku tidak dapat tidur malam ini. Selepas penat mengemas rumah sewa yang bersepah akibat program batch, aku tidak mampu melelapkan mata. Badan rasa segar walaupun akal sudah berat.

Musim sejuk telah tiba. Tubuh menggeletar kerana pakaianku hanya selapis sahaja. Basah pula, kerana terkena air yang sejuknya ibarat ais ketika membasuh pinggan mangkuk yang bertimbun.

“Haila, kenapa la tak boleh tidur ni?” Aku merungut sambil membuka baju. Sejuk. Angin yang masuk dari tingkap yang terbuka menyengat tuubuh.

Segera kusarung baju baru. Old Navy, baju sederhana kegemaranku.

Tiba-tiba mataku lekat pada sampul surat-sampul surat yang terdapat di dalam almariku. Aku tidak bergerak. Hanya menatap. Sejenak masa terhenti, terungkit semua memori yang bersangkut paut dengan surat-surat di hadapan mataku kini.

Aku menghela nafas. Kutundukkan sedikit tubuhku mengambil surat.

Itu surat-surat yang berkait rapat dengan perjalanan cintaku. Surat daripada calon mertuaku. Saksi kepada ekspedisi cintaku. Aku tersenyum kelat apabila melihat sampul surat itu satu persatu. Setiap satu ada memorinya yang tersendiri, peristiwa-peristiwa yang terpahat kemas.

Dan bukan semua memori dalam ekspedisi cintaku ini, bahagia.

Terdapat pahitnya.

Aku duduk. Kususun sampul surat itu mengikut tarikh. Kupasang lagu yang agak sentimental. Lama tidak kutatap surat-surat itu.

“Alang-alang tak tidur, baca la” Aku bicara pada diri. Tersengih tika keseorangan. Sampul pertama kubuka. Surat kutarik keluar.

Baris pertama mula kubaca.

“Assalamu’alaikum anakanda ibu, Win yang dikasihi…” Surat itu bermula.

Dan aku tenggelam pada lautan memori.

*****

Hentian Pertama: Kupinta kepadamu agar meminggir

“Abang Win” Suara Umeir, juniorku menerjah gegendang. Aku menoleh. Kelihatan Umeir masuk. Dia memberi salam. Tanpa lengah aku menyambut.

“Orang bagi salam dulu, baru panggil nama” Aku menolak Umeir yang duduk di sebelahku.

Umeir menyatukan kedua telapak tangan, gaya memohon ampun. Aku tersengih sahaja. Kemudian terus menumpukan perhatian kepada lap topku. Melihat laguku yang baru diupload di YouTube dan diletakkan di dalam blog. Nak tahu apa komen orang.

“Abang Win sekarang popular ya?” Umeir memanjangkan leher, memerhati skrin laptopku.

Aku terus tersengih. “Mana, ramai yang kritik ni. Tak sedap la, tak ada makna la” Aku menunjuk pada deretan komen.

“Tapi ramai komen, tandanya abang mula dapat perhatian la. Pengunjung pun meningkat. Ada kipas susah mati plak tu”

Aku mengangkat kening. Kipas susah mati? Apa benda tu?

“Makhluk apa kipas susah mati?” Aku tak pernah dengar. Umeir kupandang pelik.

“Die Hard Fans la. Appa la” Umeri mengangkat tangan, memuncungkan bibir.

Tawaku pecah. Siapa la ajar translate bulat-bulat dari inggeris ke melayu macam tu? Ada patut kipas susah mati.

“Siapa la malang jadi die hard fans aku tu Umeir?” Aku menggeleng. Masih rasa tergeletek dengan istilah yang julung-julung kali kudengari itu.

“Saya” Umeir menepuk dada.

Lagi tawaku berderai. Umeir turut ketawa.

“Em, ni mesti ada apa-apa ni. Sebab tu puji melangit” Aku menjangka.

“Ha’ah, ada.”

“Dah agak” Aku buat wajah merajuk.

“Jangan la perangai macam budak Abang Win. Tak macho la” Umeir mengurut-urut bahuku. Memujuk.

“Kau nak apa?” Aku tersenyum semula.

“Nak pinjam lap top kejap. Nak delete gambar. Sebab ada nak isi dengan gambar lain. Pen drive tak muat”

“Berapa gig la pen drive kau?” Aku memberikan lap topku yang berbekalkan tenaga bateri itu kepada Umeir.

“512MB” Umeir terus meminimizekan tetingkap mozilla firefox yang kugunakan tadi. Dia terus ke bahagian Computer, untuk mengakses pen drivenya.

Aku menggeleng. Ada juga orang zaman ni pakai pen drive 512MB? Zaman sekarang ada pen drive 40G lagi. Kesian junior aku ni.

Umeir bukan keluarga berada. Keluarganya sederhana. Dialah antara golongan terpencil di universiti ini yang tidak mempunyai lap top. Lap top akulah yang sering digunakan jika ada kerja kursus atau pembentangan. Mujur bilik kami sebelah menyebelah sahaja.

Umeir nampak khusyuk dengan lap topku. Entah apa yang dilakukan. Aku pun perlahan-lahan memanjangkan leherku ke belakang kepalanya. Dan apabila aku melihat apa yang ada pada skrin lap top, mataku terpana.

“Siapa tu?” Aku bertanya. Tubuh Umeir terangkat. Terkejut. Spontan lap topku dilipat tutup. Tubuhku ditolak.

“Abang Win, jangan la tengok. Gambar kakak saya tu!”

Oh, kakak. “Kau tak kata tak boleh tengok tadi?” Aku mencari alasan. Dan memang aku tak tahu dia sedang melihat gambar kakaknya. Kalau tahu, tidakku gatal melihatnya.

“Gome,” Aku menyandarkan tubuh ke dinding. Kaki melunjur hingga ke hujung katil. Umeir membuka kembali lipatan lap top, dan terus kembali ke dalam dunianya.

“Maaflah Abang Win, terkejut tadi. Salah saya sebab tak bagitahu” Umeir tiba-tiba menyebut.

Aku tersenyum dan menggeleng. Tanda tidak kisah.

Tetapi pada masa yang sama, wajah perempuan yang terdapat pada skrin lap topku tadi, tergayut-gayut pada tubir mataku, terawang-awang dalam ingatanku. Hatiku berdebar-debar, dan jantungku seakan tercarik-carik.

Apa ini?

Aku mengawal perasaanku.

“Win, tenang. Sisih, sisihkan…” Aku mengingatkan.

Tidak akan kujatuh semula ke lubang bernama cinta…

Sekali lagi.

****

Hentian Kedua: Pahitnya kesilapan, tenangnya pembetulan

“Kenapa kita kena berpisah?”

“Sebab kita dah silap”

“Tak boleh kah kita bermula semula?”

Dan soalan itu yang membuatkan aku terdiam, tidak mampu memberikan jawapan yang tidak melukakan. Alasan-alasanku semuanya dipatahkan dengan hujah.

Ya, kami dah silap dalam bercinta. Kami tidak bercinta dengan lunas-lunas Islam. Walaupun cara kami bercouple, terkenal dengan perkataan couple Islamik. Namun apabila aku diberikan Allah peluang untuk menyelami makna cinta di dalam Islam yang sebenar, aku tersedar dari kelalaian dan kesilapanku yang panjang selama ini.

Tetapi tidak bolehkah bermula semula? Itu soalan yang berat untuk aku.

Hal ini kerana, selain menyedari cara percintaanku salah, aku juga menyedari sesuatu yang lain.

Mata Zulaikha kulihat bergenang. Aku tahu dia sedang mengawal air matanya dari gugur. Aku tidak mampu memandang wajahnya. Rasa tercucuk-cucuk. Rasa bersalah menggunung tinggi.

Zulaikha ayu, perempuan solehah, kuat bekerja untuk Islam dan mempunyai pengaruh di matrikulasiku ini. Aku sering disakat oleh kawan-kawan seangkatan, bahawa aku beruntung. Aku tidak tahu kenapa, tetapi Zulaikha terpaut kepadaku. Dan jujurnya, aku bersyukur kerana perempuan sebaiknya, yang digelar-gelar sebagai bidadari dunia, merendahkan diri untuk bercinta denganku, manusia biasa.

Awalnya, aku juga tidak tahu Zulaikha mencintai aku. Kami hanya sering bekerja bersama. Biasa la, sibuk dengan urusan persatuan dan kerja-kerja dakwah di kampus. Kebetulan, aku juga aktif dalam menyebarkan kefahaman Islam.

Hingga akhirnya, mama Zulaikha memanggilku pergi ke rumah. Aku, memang agak rapat dengan keluarganya. Papanya kawan baik ayahku. Ketika perjumpaan itu, mama Zulaikha bertanya kepadaku akan perasaanku terhadap Zulaikha. Sebenarnya, ingin sahaja aku menjawab bahawa aku tiada perasaan istimewa kepadanya. Tetapi, belum sempat bersuara, mama Zulaikha memberitahu sesuatu yang menyebabkan aku teragak-agak untuk berbicara.

“Sebenarnya, Zulaikha ni, sayang sangat pada kamu Win”

Dan Zulaikha yang turut bersama berada di ruang tamu ketika itu, kemerah-merahan pipinya. Tambah membuatkan aku tersepit dalam keterkejutan, meragut terus kata-kata yang kusetkan di dalam hati tadi. Terkejut kerana Zulaikha, Zulaikha yang amat solehah dan merupakan rebutan ramai itu mencintai aku.

Ketika itu, aku teringat ceramah-ceramah baitul muslim yang pernah aku ikuti. Memang, kalau diikutkan, Zulaikha telah cukup empat ciri carian lelaki yang inginkan redha Ilahi.

Aku rasa, aku adalah manusia bertuah. Perempuan kirana sendiri yang mencari aku. Sudah seperti Fahri dengan Aisya dalam Ayat-ayat cinta nampaknya. Cuma, aku tidak sebagus Fahri.

Dalam keadaan genting itu, aku sempat berfikir berkenaan cinta. Apakah ini takdir cintaku? Tetapi aku, aku tidak cintakan Zulaikha walaupun dia rebutan ramai. Namun sekarang, perempuan solehah inilah yang menjemputku. Bagaimana?

Maka kupujuk diriku: “Cinta boleh datang kemudian”

Dan ketika itu, aku telah melakukan kesilapan besar. Aku melafazkan kepada mama:

“Saya pun, menyayangi Zulaikha makcik”

Dan tidak dapat kugambarkan wajah gembira mama dan Zulaikha ketika itu.

Perjalanan couple kami, adalah yang dikata-katakan orang sekarang couple islamik. Kami sms, e-mail, facebook, tetapi tidak pula berdating, pegang tangan dan duduk berdua-duaan. Sms kami, e-mail kami dan facebook kami pun hanya nasihat-nasihat. Namun kadangkala, wujud juga gurauan nakal.

Aku fikir ketika itu, itulah cinta. Aku rasa aku sudah bahagia. Sudah lengkap ekspedisi cintaku.

Tetapi perjalanan hidupku masih panjang rupanya. Apabila aku memasuki universiti, aku tidak kekal pada universiti yang sama. Aku memasuki universitiku sekarang. Di sini, aku ikuti kumpulan usrah yang baru, bersama rakan-rakan yang baru. Di sini, oleh kerana aku orang baru, maka aku bermula semula dari bawah. Kalau dahulu di matrikulasi, aku adalah ketua, maka di sini aku orang biasa. Kembali mendengar pengisian dari dahulu asyik memberi.

Ketika ini, bersama suasana baru, rohku terisi. Terasa betapa selama ini asyik memberi, hatiku menjadi kering. Banyak perkara terbuka apabila mas’ulku memberikan penyampaian. Benarlah, seorang pahlawan yang hebat juga kadangkala perlu mengambil rehat. Mengisi kembali tenaga.

Dan ketika inilah aku menghidu makna cinta yang sebenar.

“Kita ni, kalau nak bina baitul muslim, kena la membinanya atas dasar keimanan kepada Allah SWT. Dan iman ini bukan perkara teori. Ia perkara praktis. Tak jadi cinta kita cinta islamik, hanya dengan kita menamakannya cinta islamik, hanya dengan kita tidak berpegang tangan, hanya dengan kita tidak keluar berduaan. Cinta itu menjadi sesuatu yang mahal apabila dikira oleh Allah SWT. Dan hendak dikira oleh Allah itu, perlulah taat kepada-Nya. Buat apa yang Dia suruh, dan tinggal apa yang Dia larang”

Ketika itu, aku hanya tergegar. Belum lagi tergoncang. Namun, aku terasa seakan dilanda gempa apabila aku mengucup makna cinta yang sebenar.

“Siapakah yang cintanya, terbangun atas dasar untuk mendapat redha Allah SWT? Atau kita ni cari perempuan solehah, hanya kerana hendak mengatakan diri kita ini orang soleh? Kadangkala, di sisi mencari kebaikan inilah syaitan menipu kita”

Ketika itu, aku merasakan jalan ekspedisi cintaku terbentang semula. Aku rasa telah tersasar. Redha Allah dan cintaku dengan Zulaikha. Aku rasa macam hubungan kami, tidak terbina atas dasar itu. Dan yang lebih penting, aku…

“Masalahnya Zulaikha, saya tidak cintakan awak sebenarnya”

Akhirnya terlafaz.

Dan aku nampak, air mata Zulaikha berguguran. Sungguh, 100% terbalik suasana ini dengan situasi di rumahnya dahulu. Jantungku berdebar-debar. Gemuruh. Bukan mudah berkata benar, apatah lagi kebenaran itu memahitkan.

“Habis, kenapa awak kata awak sayang saya dulu?” Zulaikha bertanya. Dia tenggelam dalam emosi. Air mata membasahi wajah.

“Ketika itu, saya tidak jujur dengan diri saya Zulaikha. Saya tidak cintakan awak. Saya ketika itu, tidak faham makna sebenar baitul muslim, makna sebenar mengejar perempuan solehah. Mungkin, masa itu saya hanya nampak awak adalah peluang saya menjadi soleh. Tetapi ternyata saya telah kesilapan Zulaikha. Secara tidak langsung, saya menjadikan awak sebagai matlamat saya. Sedangkan, Allah juga matlamat kita” Aku cuba bertegas, cuba tidak tergugah dengan air mata Zulaikha.

Bohong andai hatiku tidak terkesan dengan apa yang berlaku.

Cinta, kalau benar matlamatnya apa yang Allah redha, maka diri akan condong kepada mendekati Allah SWT. Tetapi, cinta kalau matlamatnya tidak tepat, maka diri akan tercondong kepada nafsu. Kalau dulu kami sms-sms, e-mail, facebook, selepas itu kami telah meleret kepada chatting. Kini, kami sudah berani telefon menyatakan kerinduan. Aku pula, macam tenggelam dalam lautan cinta palsu ini.

“Cinta kita silap Zulaikha. Saya silap, dan saya rasa awak pun silap. Kita berhenti sahaja”

Dan akhirnya aku dicop sebagai pengkhianat oleh keluarga Zulaikha. Aku sendiri mengutuk diriku menyatakan bahawa aku ini bodoh membuat keputusan sedemikian. Tetapi, tiada apa yang aku mahukan selain redha Allah. Aku tidak mahu keluargaku terbina atas asas yang rapuh, sekaligus mengheret aku, isteriku, anak-anakku ke arah yang Allah tidak sukai.

Aku takut. Usrah-usrah, program-program yang kuikuti di universiti kini, membuatkan aku lebih sedar, lebih tegas pada diri, kerana aku seakan dapat melihat betapa hidup ini kontang tanpa redha Allah SWT. Lebih baik mati, jika tidak mampu meraih redha-Nya. Atas perasaan ini, kurasakan keputusan aku kepada Zulaikha adalah tepat. Sebab aku perasan betapa aku mula rasa tidak senang dengan sms-sms kami, e-mail-e-mail kami, hubungan di facebook, chatting serta komunikasi dalam Facebook. Seakan-akan, keimananku meronta untuk diriku dilepaskan dari semua itu.

Ada rasa tidak redha yang tertanam di dalam jiwa, seterusnya menumbuhkan pokok tidak senang, yang kemudiannya mengeluarkan buah gusar.

Dan aku tidak lagi menoleh ke belakang.

Lantas kupasung diriku dari lembah bernama cinta.

Langsung tidak kusentuh. Fobia perkara yang sama berlaku. Tambahan apabila melihat bagaimana keluarga Zulaikha bereaksi terhadapku selepas itu. Ya, secara pandangan kasarnya, aku telah mengkhianati seorang perempuan. Kelihatan aku mempermain-mainkannya. Tetapi, tiada siapa tahu, apa yang bermain di dalam hatiku.

Dan aku lapang serta tenang selepas meninggalkannya.

Aku sahaja yang tahu. Dan untuk kelapangan dan ketenangan ini, aku tidak peduli walau seluruh dunia menyisihkan aku.

Kini, perasaan aneh datang menyapa di hatiku.

Perasaan yang datang hanya selepas aku melihat sekeping gambar.

Pada aku, itu perasaan yang langsung tidak punya asas.

Sekeping gambar buat aku kejatuhan dalam lembah bernama cinta?

Aku berulang kali mengucap, “Sisih, menyisihlah”

Tetapi wajah itu tetap bergayutan.

Tidak mahu pergi.

****

Hentian Ketiga: Bergeraklah Wahai Pencinta, Bergerak Dengan Pengawasan-Nya

“Kau ada masalah cinta ke bro?”

Soalan itu membuatkan aku terjeda. Mando, teman rapatku di Universiti bertanya seakan menebak panah tepat ke sasaran.

“Atas dasar apa kau berkata begitu wahai laksamana Mando? Beta tidak mengerti” Aku cuba berseloroh, walaupun aku rasa wajahku kepanasan.

“Jangan la bermain kata wahai tuanku Ashwin yang glamour, lagumu kebelakangan ini sentimental bunyinya. Kurisau bertukar jadi sakitmental nantinya” Mando membalas.

Pecah tawaku. Memang, itulah komen oleh pelawat-pelawat blogku. Kebelakangan ini, lagu-laguku tiada yang rancak. Semuanya berentak sentimental. Semuanya berkenaan perasaan hati. Seakan-akan karyaku mengikuti apa yang bermain di dalam hati.

“Orang kata, 80% karya adalah merupakan diri pengkarya.” Mando memandangku.

Aku tersenyum. Betul ke? Main sebat je Mando ni. Bukan boleh kira temanku nan seorang ini.

“Cerita la bro. Jangan la simpan aje. Apa guna sahabat?” Mando memaut leherku. Mesra.

“Entah la Mando. Aku rasa aku ada jatuh cinta dengan seorang perempuan ni”

“Wah, baguslah.” Mando bertepuk tangan.

“Tapi…”

“Tapi?”

“Tapi aku rasa itu mainan syaitan aje” Dan jawapanku membuatkan tepukan Mando terhenti.

“Kenapa macam begitu pula ceritanya?”

“Sebab aku jatuh cinta tu, hanya dengan tengok gambar aje. Nama aku tak kenal, orangnya aku tak pernah jumpa, tengok dengan mata kepala sendiri, suara pun tak pernah dengar”

Mando senyap. Ya, tengok gambar kemudian jatuh cinta, tak ke gaya main-main? Cinta sesuatu yang mahal, lebih-lebih lagi untuk orang ada fikrah dan melalui proses tarbiyah serta menjalankan usaha dakwah macam aku dan Mando.

“Nama pun tak tahu?”

Aku mengangguk. Aku tak pernah tanya pada Umeir, takut Umeir rasa lain pula kerana Umeir tahu aku dah terlihat gambar kakaknya. Kadangkala, orang ada kakak ni, menjauhi orang yang nak kenal kakaknya. Mereka merasakan, hubungannya tidak ikhlas. Rapat sebab kakak. Aku, tidak mahu perkara itu terjadi antara aku dengan Umeir. Umeir adalah Umeir, kakak dia adalah kakak dia.

“Habis, kau memang rasa tu mainan syaitan la?”

Aku mengangkat bahu. “Aku cuba sisih, lama dah. Hampir lima bulan la jugak. Tak tersisih-sisih”

Mando mengangguk-angguk, gaya faham.

“Aku risau, mungkin iman aku ni luntur. Tak kuat. Jadi aku banyakkan ibadah. Aku pergiatkan mathurat, baca Al-Quran lebih, sering lama-lama di masjid. Qiam pun aku kuatkan. Aku sentiasa berdoa pada Allah agar jauhkan aku dari benda-benda macam tu”

“So?”

Aku menghela nafas. “Tak hilang juga bayangan perempuan tu pada ingatan aku bro”

Giliran Mando menghela nafas. Mungkin dia simpati. Orang kata, sahabat atas dasar iman ni, apa ada pada hati sahabatnya, dia pun dapat rasa. Mungkin Mando mampu melihat isi hatiku yang berkecamuk ini. Tambahan, dia banyak bersamaku dan membantu dalam lagu-lagu yang kunyanyi dan reka selama ini.

“Beginilah. Apa kata kau bergerak sikit?” Mando menepuk tangan, memberi idea.

“Bergerak? Gerak apanya Mando?”

“Cuba kau pergi gerak sikit, ziarah rumah dia, tanya kawan-kawan dia, tanya senior dia, tanya pensyarah dia ke, tanya adik beradik dia ke. Mungkin dekat situ, kau boleh tahu kenapa Allah tidak sisihkan dia daripada kepala kau ni” Mando menepuk kepalaku lembut.

Cadangan Mando, mengetuk mindaku.

“Mana la tahu, itu memang jodoh kau” Mando kemudian menggosok-gosok badanku.

Selepas itu dia bangun. Dia menepuk kedua tangannya. “Ha, selesai kerja aku”

Kerja? Apa kerja yang selesai? Mando memandang wajahku. Dia tersenyum. Aku pasti, dia tahu yang aku tertanya-tanya maksud kata-katanya.

“Mas’ul suruh aku tengok, apa masalah kau. Selesai dah kerja aku sebagai penasihat tidak rasmi tuanku ya” Mando ketawa.

Terkoyak senyum aku, menghantar Mando masuk ke tandas dengan pandangan.

Bergerak ya?

“Mana la tahu, itu memang jodoh kau”

Kata-kata Mando kembali datang.

Ya, mustahil aku ini tengok gambar perempuan terus jatuh cinta. Mustahil, selepas berbulan-bulan cuba menyisih, tetap tidak pergi perasaan dan bayangan itu.

Aku kena bergerak!

Itu solusinya.

*****

Hentian keempat: Dikau Wahai Bidadari Syurga, Sangat Sederhana

Winner: So dia mcm mne?

Sha_ji: Dia pemalu. Bgs. Jg prgauln.

Winner: hmmm… cmtu trimas ya kak.

Sha_ji: Win, nk tnya bleh?

Winner: Tnya r

Sha_ji: knpa tnya2 fsl Awani?

Aku diam. Teragak-agak aku akan jawapan yang hendak kuberi. Nak cakap apa? Terus terang? Berkias bahasa? Hem…

Winner: Tak jwb bleh?

Sha_ji: Trpulang. Cuma curious org mcm kmu tnya fsl perempuan tetibe.

Winner: ……

Maka aku tidak menjawabnya. Sebab aku tidak tahu hendak berkata apa. Perasaanku kepadanya masih tidak kupasti apa. Semakin mengetahui, memang semakin besar rasa cinta. Dan aku berusaha tidak mahu menimbulkan fitnah. Aku cuba menutupnya. Aku cuba. Tetapi siapa tahu sangka jangka manusia.

Dia tidaklah sesolehah Zulaikha. Kaki baca komik dan tengok drama Jepun mengikut cerita yang aku kutip. Bukan barisan MPP di tempat belajarnya. Dia tiada apa yang dikatakan kegemilangan oleh orang ramai. Juga dia tiada yang diiktiraf istimewa oleh semua. Dia biasa. Dari apa yang aku dengar, dia biasa. Sangat biasa. Itulah maklumat-maklumat yang dapat kukutip dari pelbagai orang yang kutanya.

Tetapi, dalam kebiasaannya itu, ada juga yang luar biasa dan amat sukar aku jumpa pada perempuan hari ini.

Aku baru-baru ini berziarah ke rumahnya. Sengaja aku ambil peluang cuti habis belajarku, mengikut Umeir pulang. Serampang banyak mata orang melayu kata. Nak merapatkan hubungan dengan Umeir yang merupakan mad’uku, juga hendak berta’aruf dengan ibu bapa Umeir, dan akhir sekali, hendak merisik kehidupan perempuan bernama Awani, yang hatiku seakan terpaut dengannya itu.

Rumah Umeir amat sederhana. Jauh amat kecil berbanding rumahku. Kereta ayahnya pun adalah kereta lama yang kini sudah jarang kelihatan di tengah bandaraya. Internet pun tiada di rumahnya. Memang sangat-sangat sederhana.

Yang membuatkan aku rasa ajaib, Awani seakan tiada di rumah. Aku langsung tidak melihatnya muncul di hadapanku. Kalau aku berziarah ke rumah orang lain, biasanya yang perempuan akan bawa air ke ruang tamu, hidang makanan, dan tak rasa malu untuk muncul di hadapanku, bersembang dengan adik beradiknya yang lain. Tetapi di rumah Umeir, Awani seakan tiada. Semua kerja-kerja tadi dilakukan oleh Umeir.

Pernah aku hendak ke bilik air, dan bilik air mereka ada satu sahaja. Aku perlu merentasi dapur untuk ke bilik air. Ketika itu, aku yakin Awani ada di dapur sedang membantu ibunya. Bila aku katakan kepada Umeir bahawa aku hendak ke tandas, Umeir berkata:

“Kejap ya Abang Win, nak bagitahu kakak”

Aku hairan. Aku nak pergi tandas pun kena bagitahu kakak?

“Ha Abang Win, pergi la. Akak dah masuk bilik”

MasyaAllah… Memang langsung tidak muncul.

Tiga hari aku di rumahnya, aku tetap tidak bersua wajah, mendengar suara.

“Kakak kau, memang pemalu ke?” Aku bertanya semasa balik.

Umeir memandangku pelik. Baru aku sedar bahawa aku terlepas bertanya berkenaan kakaknya. Terus aku paut tangan Umeir.

“Maaf, kalau kau tak senang. Tapi, antara tujuan aku datang adalah untuk ta’aruf dengan kakak kau”

“Ini dah tak ikhlas!” Umeir menggerakkan tangannya kasar, minta dilepaskan. Wajahnya marah.

Aku diam. Macam mana aku hendak menjawab? Mujur sekarang berada di stesen bas. Kalau di rumah, mungkin aku akan memberikan impressi buruk kepada ibu ayah Umeir. Aku kembali menarik tangan Umeir.

“Umeir, kau dah kenal aku dua tahun. Kau nak ragu-ragu dengan aku?”

“Lelaki sanggup berbohong kerana nakkan perempuan!” Umeir cuba melepaskan tangannya lagi. Tanganku beralun mengikut rentak.

Aku menghela nafas. Terus aku kejapkan tanganku. Tangan Umeir terhenti.

“Dengar sini Umeir. Aku, dengan kau, itu aku dengan kau. Kakak kau tak masuk dalam hubungan kita. Perasaan aku dengan kakak kau, itu aku dengan kakak kau. Itu perasaan aku kepada kakak kau. Aku tak bersahabat dengan kau, sebab aku nakkan kakak kau” Aku bertegas.

Umeir memandangku tepat. Matanya tajam. Aku pula tidak beralih. Menatap bebola matanya dalam. Sebab aku sudah yakin satu perkara apabila aku datang ke rumahnya.

“Keluarga saya memang jaga perempuan. Akak saya jadi pemalu sebab ayah dan ibu yang didik dia begitu. Dia tak pernah pun cakap dengan lelaki melainkan sangat terpaksa. Dia mana ada kawan lelaki di universiti. Facebook pun tak ada lelaki melainkan saya”

Dan keyakinan aku berkenaan satu perkara tadi, bertambah.

Teringat aku akan kata-kata ayah Umeir, semasa aku memuji Umeir yang amat cemerlang dalam pengajian di Universiti.

“Pakcik ni Win, hanya nakkan anak-anak pakcik jadi soleh dan solehah. Nakkan mereka ni, hidup dapat redha Allah. Pakcik tak kisah sebenarnya fasal kecemerlangan. Itu bonus daripada Allah. Yang penting taat sebagai hamba Allah. Itu baru namanya satu kejayaan”

Dan baru aku nampak betapa pakcik Emran yang lemah lembut, ramah lagi penyayang itu, menjaga keluarganya. Walaupun hidup sederhana, gaji tidak seberapa, dia tidak pula mengurangkan perihal didikan anak-anaknya. Didikan akademik diberi, tetapi diberatkan lagi didikan akhlak dan peribadi.

Aku tertarik. Aku mula nampak kenapa Allah menyangkutkan aku kepada Awani.

Awani punya sesuatu yang tidak dipunyai manusia lain di zaman ini.

Kesederhanaan.

“Abang Win serius ke suka pada akak?” Soalan Umeir mengeluarkan aku dari lamunan.

Aku menggeleng.

“Habis, kenapa tanya-tanya fasal dia?”

“Aku tak suka dia. Lebih dari suka. Tetapi aku cinta. Cinta dengan sebenar-benarnya. Dan aku jatuh cinta juga pada kau dan kehidupan keluarga kau.” Aku menepuk bahu Umeir. Ketika itu, aku sangat yakin. Kini bukan satu kata-kata penyenang hati. Ini satu perkara yang aku pasti.

Aku cintakan Awani.

Semenjak itu, aku tidak putus hubungan dengan keluarga Umeir. Aku tidak rasa Allah menyangkutkan Awani kepada aku, sekadar untuk aku mencintai Awani. Allah hendak aku belajar kesederhanaan dari keluarganya. Atas dasar itu, aku banyak membina hubungan dengan ayah dan ibu Umeir. Ingin mengambil sesuatu dari pengalaman hidup mereka berdua, dan bagaimana mereka boleh bersederhana, merasa cukup dengan apa yang ada.

Hubunganku dengan kedua ibu bapanya amat rapat. Sepanjang cutiku selama empat bulan, kami sering bertukar khabar dan berganti cerita. Kadangkala kuhantar hadiah kepada ibu dan ayahnya.

Hinggalah pada saat aku hendak terbang ke Jepun, Ibu dan ayahnya sanggup datang menghantarku di KLIA. Ibu ayahku, juga rakan-rakanku yang hendak terbang bersamaku rasa pelik dengan kehadiran mereka berdua. Hal ini kerana, di saat itu, hanya mereka berdua sahaja yang kelihatan langsung tiada kena mengena dengan aku.

“Weh, ini siapa?” Bisik Mando selepas bersalaman dengan Pakcik Emran. Makcik Maimunah sedang bersembang dengan ibuku.

“Inilah pakcik Emran. Ayah Umeir”

“Kenapa ada kat sini?”

“Salah ke?”

Mando menggeleng. “Cuma pelik”

Aku tersenyum. Apa la yang nak dipelikkannya. Mando tidak tahu betapa ramah dan baiknya ibu ayah Umeir. Aku menganggap, kehadiran ibu ayah Umeir, sekadar prihatinannya kepada aku kerana hubungan rapat kami. Di dalam telefon sebelum ini, berkali-kali Pakcik Emran memberitahu hendak hadir.

Pengumuman agar kami bergerak ke kapal terbang sudah kedengaran. Aku bersalaman dengan ibu ayah, adik beradik, serta sahabat handai yang datang. Akhir sekali, aku bersalaman dan berpelukan dengan pakcik Emran. Di hadapan makcik Maimunah, aku mengucapkan terima kasih dan berharap agar dapat lagi berkongsi pengalaman mereka dalam kehidupan. Sesungguhnya, aku sudah jatuh cinta dengan kesederhanaan hidup mereka.

Aku, Mando dan teman-teman lain menuruni lif. Aku dan Mando di barisan paling akhir.

Ketika aku mula turun, ada satu perasaan menggesa aku untuk memandang ke belakang. Mungkin rasa berat hendak meninggalkan keluarga. Juga mungkin rasa ingin melihat Pakcik Emran dan Makcik Maimunah buat kali terakhir. Maka aku menoleh.

Dan ketika ini jantungku ibaray direnjat elektrik. Mulutku terlopong.

Awani.

Berada di sebelah Pakcik Emran, sedang menarik tangan ayahnya.

Mataku kemudian dihadang oleh tangga eskelator memandangkan aku ke bawah.

Namun sedetik itu, sudah cukup menceritakan kepada aku bahawa aku sedang melihat bidadari dari langit. Tidak tahu kenapa, wajah yang sangat biasa itu, peribadi yang sangat biasa itu, kelihatan bergemerlapan pada mataku.

Jantungku berdegup kencang. Kulepaskan bagasi di tanganku. Memegang dada.

“Weh, kenapa?” Mando menyentuh tubuhku.

Aku menggeleng.

“Tak ada apa-apa”

Tetapi sebenarnya, aku memandang bahawa ekspedisi cintaku sudah mula berhadapan dengan gunung yang tinggi. Apakah aku berjaya merentasi?

*****

Hentian Kelima: Bukan tanggungjawab kecil, tidak cukup sekadar suka

Aku tidak duduk diam di Jepun. Selain belajar, aku ambil masa mempertingkatkan diri. Bukan di negara Islam, tidak bermakna praktis Islam ditinggalkan. Usrahku berjalan di sini. Bermula dengan aku dan Mando, kami berdua bergerak mengajak lebih ramai lagi mengikuti proses tarbiyah.

Sepanjang di Sendai, tidak pernah sekali pun aku berhubung dengan Awani. Jauh sekali mencuba. Aku kekal meneruskan ekspedisi cintaku sendirian. Kadangkala datang juga ujian. Suggestion friends di Facebook kadangkala memunculkan accountnya. Mungkin kerana aku adalah friends dengan Umeir, menyebabkan Sang Facebook mencadangkan agar aku menginvite Awani sebagai friends aku. Namun tidak pernah sekali kucuba.

Aku juga berhenti menghubungi kawan-kawan perempuannya. Dahulu, pada awal ekspedisiku mengenali Awani, aku fikirkan itu perkara yang syara’. Tanpa sangka, aku terlagha juga dengan kawan-kawan perempuannya. Segera aku sisihkan. Bukan itu caranya membina keluarga.

Kepada Allah, yang kekal menemaniku hingga ke hari ini, aku luahkan segalanya. Dia satu-satunya tempat yang ada untuk mendengar bicara jiwaku. Kalau aku rasa kelemahan, pada Allah kuminta kekuatan. Kalau aku tiba-tiba rasa rindu, kepada Allah aku ceritakan. Kalau aku tiba-tiba rasa gembira, kepada Allah aku kongsikan.

Semuanya dengan harapan, agar cintaku ini diredhai-Nya.

Selain Allah, hanya Mando sahaja aku kongsikan kisahku. Manusia lemah. Perlukan manusia lain juga untuk menyokongnya. Sahabat, dengan sahabatnya, adalah ibaray dua kepak yang menerbangkan seekor burung ke destinasinya. Saling bantu membantu, mengimbangi kehidupan, untuk sampai ke destinasinya yang sebenar, yakni Allah SWT. Mando dan aku, adalah begitu.

“Weh star, menung jauh nampak?” Laungan Mando yang baru pulang ke rumah menarikku keluar dari lamunan. “Terpotong jari karang” Suaranya kedengaran lagi. Nampaknya dia macam melepak di ruang tamu.

Aku tersengih, memandang pisau di tangan yang sedang memotong cili.

“Rilek la Mando. Bukan aku tak sedar apa aku buat” Perasan pula dia aku menung masa memotong cili. Kantoi.

“Ei, kenapa kebelakangan ni aku tengok kau rajin tak boleh blah ha?” Mando bertanya dari ruang tamu. Suaranya ditinggikan, agar aku mendengar.

“Maksud kau?”

“Ya la, kau masak, kau kemas rumah, kau basuh pinggan mangkuk, kau basuh tandas, kau kemas bilik.”

“Biasa la tu” Aku menjawab. Apa yang peliknya?

“Tapi, sampai bilik aku pun kau kemas. Yang tak boleh blahnya, baju seluar aku pun kau basuh sidai”

Aku ketawa sendiri.

“Ada apa-apa ke bro?”

“Aku sebenarnya nak menyelami perasaan suri rumah. Saje je”

Terdengar suara tepukan. Mando, tak habis-habis dengan tepuk dia. “Mantap la Win”

“Aku pun tak pernah terfikir sejauh tu.” Mando menyambung.

“Nak jadi suami, bukan bleh main suka-suki je. Kena bersedia terima tanggungjawab. Baru namanya serius nak membina keluarga. Kalau bina keluarga atas dasar suka sahaja, tak akan ke mana. Hidup bukan semuanya manis. Tambahan, tanggungjawab kita bukan kecil. Sangat besar. Nak bawa keluarga ke syurga Allah. Tanggungjawab yang bukan senang tu. Jadi mustahil la persediaannya sekadar tahu munakahat aje” Aku menjelaskan, sambil tangan lincah memasukkan semua sayur mayur ke dalam kuali.

“Ho ho, gaya macam dah dekat je”

Aku tersengih. Memang. Aku fikir, aku tidak mahu lama membujang. 23 aku merancang untuk berkahwin. Berkahwin dengan Awani, dengan cinta yang aku bina di atas matlamat hendakkan redha-Nya.

Kebelakangan ini, rezekiku pun mencurah-curah. Aku telah dilamar oleh Syarikat Rakaman World Records untuk membuat satu album. Lagu-lagu ciptaanku akhirnya mendapat perhatian daripada syarikat rakaman tersebut apabila mereka menziarahi ke blog aku. Artis-artis terkenal seperti Yassin Sulaiman dan M. Nasir turut pernah singgah dan memberikan komen kepada lagu-lagu ciptaanku.

Mereka boleh melihat aku mendedangkan lagu ciptaanku kerana aku menguploadnya di YouTube, dan meletakkannya di blog. Di situ, mereka boleh memberikan komentar.

Dan apabila albumku terjual, aku telah mendapat sambutan yang hangat. Ada yang menggelar aku prodigi kerana pada usia yang sangat muda, aku telah menjadi penyanyi, pencipta lirik dan komposer lagu sekaligus. Mesej dakwah yang kubawakan dalam nyanyianku juga merupakan indikator utama yang membantu penerimaan masyarakat kepadaku.

Kelebihan aku, lagu-laguku tiada alat instrumen seperti gitar, drum atau apa sahaja. Hanya suaraku sahaja.

Aku mengambil jalan keluar dari khilaf, dengan tidak menggunakan barang-barang syubhah seperti gitar. Aku juga membawa identiti tersendiri dengan memilih tidak menggunakan instrumen lain. Kolaborasi ini dengan mesej dakwahku, membuatkan penerimaan masyarakat kepadaku amat baik.

Antara keistimewaan aku lagi adalah, aku tiada di Malaysia. Syarikat rakaman berurusan denganku hanya dengan internet. Di rumah sewaku, ada studio khas yang aku dan Mando gunakan untuk kegiatan seni kami.

Semua unit Albumku keluaran pertama terjual habis dalam masa sebulan. Aku boleh dikatakan sebagai OKB – Orang Kaya Baru. Dan sangat popular.

Namun tidaklah aku rasa hebat. Memandangkan pada pendapat aku, aku tidak memulakan karier nyanyian ni kerana inginkan populariti, jauh sekali berhajatkan wang. Aku mulakan, awalnya hanya luahan hati dan perkongsian. Di dalam lirk laguku, ada nilai tarbiyah dan mesej fikrah yang kuselitkan, hasil dari proses tarbiyah islam yang kulalui di dalam usrah.

Awalnya, rasa semacam juga berdakwah melalui nyanyian. Tetapi, mas’ulku di Jepun berkata:

“Kita ni, sumbang mana boleh Win. Ada orang tak reti bercakap, hebat menulis, dia sampaikan Islam melalui penulisan. Kau pakar dalam nyanyian dan buat lagu yang menyentuh jiwa, kenapa tidak gunakan untuk Islam? Selagi kau menyanyi tu tak cross syara’ tetapkan, tak pakai instrumen yang haram, tak pula buka aurat, apa salahnya? Masyarakat kita memang perlukan lagu-lagu alternatif yang mendidik jiwa. Ini medan kau untuk menyumbang Win”

Itu membuatkan aku kuat. Dan alhamdulillah, Allah memanjang luaskan teritori dakwahku.

Kedudukan aku agak kukuh untuk mendirikan rumah tangga.

Tinggal aku perlu mengukuhkan lagi apa yang ada di dalam jiwa.

Hendak memimpin sekelompok manusia yang bernama keluarga ke syurga, bukan benda yang mudah-mudah dan boleh dilakukan dengan bermain-mains sahaja.

Aku terus-terusan berusaha mempertingkatkan diri, memperbaiki mana-mana lagi ruang dalam hati dan kehidupan ini.

Aku ingin, keluargaku nanti, keluarga yang Allah redhai.

Bersama Awani, yang aku cintai.

*****

Hentian keenam: Aku Yang Paling Bahagia

Saat paling bahagia dalam ekspedisi cintaku, adalah selepas aku menunaikan umrah. Duitku yang bertimbun, membuatkan aku diberikan peluang menjejak ke tanah suci.

Semasa di tanah suci, aku berulang kali berdoa:

“Ya Allah, andai Awani itu jodohku, satukanlah. Jika bukan, sisihkanlah”

Walaupun memang, dalam hati sudah suka, dalam jiwa sudah cinta, aku amat takut andai cinta itu palsu dan tidak terbina atas dasar yang sebenarnya. Aku hendak redha Allah. Redha Allah. Redha Allah. Maka aku berusaha agar cintaku berada dalam redha Allah, bukan semata-mata kesenangan aku.

Akhirnya, tidak lama selepas aku pulang semula ke Jepun, aku mendapat e-mail daripada Umeir.

Aku tetap berhubungan dengan Umeir walaupun kini kami telah terpisah. Hubungan di hati, masih tercantum erat. Sering sahaja bertukar khabar. Umeir menjadi wasilah aku untuk menjaga hubungan dengan pakcik Emran dan Makcik Maimunah. Sering sahaja kami bertukar salam dan khabar dengan Umeir sebagai orang tengah.

Kadangkala, Skype Umeir menjadi kegunaan ibu ayahnya untuk bersembang denganku.

Aku sudah mula memanggil ibunya ibu, dan ayahnya ayah. Walaupun, aku tidak pernah bercerita bahawa aku mencintai Awani. Aku amat segan sekali. Aku rasa diriku tidak layak untuk Awani yang bersih. Aku yang pernah tersimpang di atas jalan bernama cinta, memang rasa Awani ibarat bidadari dari syurga yang suci. Tambahan, aku tidak mahu Ibu dan ayah salah faham akan hubungan aku dengan mereka. Mereka dengan aku, mereka dengan aku. Awani, adalah Awani.

Umeir berkata bahawa ibu hendak berbicara denganku.

Aku berdebar-debar. Bukanlah sebelum ini tidak pernah ibu meminta untuk bersembang kepadaku. Tetapi kali ini, ada perkataan ‘penting’ di akhir e-mail Umeir.

Apa yang penting?

Aku segera mem’buzz’ Yahoo Messenger Umeir.

Winner: Salam. Umeir, apa khabar? Apa yang pentingnya? Ibu nak cakap apa.

Dan tidak lama kemudian, muncul: U-mir is typing a message pada skrin yahoo messengerku.

U-mir: wsm. Ntah. Ibu tak bagitahu. Tpkan…

Winner: Tpkan apa?

Aku berdebar-debar.

U-mir: Tpkan, ibu dgn ayh mcm thu yg abg sukakan akk

Dan aku rasa macam hendak pitam. Ya Allah… Macam mana ni? Habis, kalau betul nak cakap fasal tu, aku nak jawab apa?

U-mir: abg ada ckp kat sesapa ke fsl suka kat akk?

Rasanya, selain Mando, tak ada. Em….

Ah, aku teringat. Aku ada ceritakan pada mas’ulahnya di universiti. Kemudian, aku ada juga terlepas cakap dengan kawan-kawannya masa aku bertanya berkenaan dengannya. Tapi sudah lama dah. Lama sangat. Ada la dalam setahun.

Winner: Ada kut

U-mir: Ha, kantoi dah la tu. Selamat la ya.

Winner: Pergh, mcm exam je gayanya.

U-mir: Klu bleh, biar lulus. Sya suka abg jd kluarga sya. Blh sm2 tingktkn diri.

Aku tersenyum. Umeir kini sudah ikut usrah. Rakan-rakanku di Malaysia mula membawanya ke program. Umeir juga semakin matang dan syakhsiahnya sudah banyak berubah. Penangan tarbiyah dan kefahaman Islam yang tertanam.

Winner: Bleh suruh ibu bg masa seminggu x?

U-mir: Knp? Nk buat skrip?

Winner: Ha3, bnykla skrip. Nk istikharah.

U-mir: k, nnti sya bgthu.

Dan seminggu aku bertapa. Tidak keluar rumah kecuali untuik ke kuliah. Berpuasa. Setiap malam aku melakukan istikharah sebelum tidur. Semuanya agar aku memberikan jawapan yang tepat. Agar, kalau jawapannya negatif pun, aku mampu meluahkan. Agar, kalau jawapannya mungkin tidak menyenangkan keluarga Umeir pun, aku mampu menceritakan. Moga Allah pandu. Moga Allah pandu.

Selepas seminggu, aku mempunyai jawapan yang sangat solid. Perasaanku sangat kuat.

Maka aku menerima panggilan ibu yang menggunakan skype Umeir.

Selepas berbasa basi, bertanya khabar dan bertukar cerita, Ibu mula masuk ke tajuk utama. Dan jangkaan Umeir minggu lepas tepat.

“Win, ibu nak tanya ni. Ibu dengar-dengar cerita, Win suka pada Awani. Betul ke?”

Aku berusaha bertenang. Walaupun dada berdegup kencang.

“Em, ibu, sebelum jawab, boleh Win cakap satu perkara?”

“apa dia Win?”

“Win dengan ibu, Win dengan ayah. Itu Win dengan ibu dan ayah sahaja ya. Awani, tak masuk dalam hubungan kita. Win, tak rapat dengan ibu dan ayah untuk Awani.” Aku menjelaskan pegangan aku. Pada aku, hubungan perlu dibina terus pada empunya. Di tengahnya hanya boleh ada Allah. Jika tidak, maka itu adalah pengkhianatan, terbina bukan dari keikhlasan.

“Jadi, Win tak ada perasaan pada Awani ke sebenarnya?” Ibu bertanya.

“Ni la yang Win nak jawab ibu. Ibu dengar ya”

“Baik. Cakap la. Ibu sedia je dengar apa-apa pun jawapan” Ibu bersuara tenang.

“Win, sangat-sangat-sangat cintakan Awani ibu”

Dan jawapanku disambut dengan tawa kecil ibu. Aku dapat rasakan kesenangan hatinya.

“Kenapa la Win tak cakap awal-awal pada ibu dengan ayah? Win ni…”

Aku tersengih. “Win bukan apa ibu. Win tak bersedia. Nak sediakan diri dulu. Kalau ikut rancangannya pun, Win nak bagitahu ibu dan ayah tahun depan. Tapi nampaknya, Allah awalkan. Ibu pula yang tanya”

“Ya la, pensyarah Awani tu yang cakap-cakap kat Ibu. Katanya, ada orang penyanyi muda lagi popular minat pada anak ibu. Ibu fikir la siapa. Akhirnya teringat pada Win.”

Aku sekali lagi tersengih. Pensyarah itu mestilah mas’ulah Awani. Aku ingatkan, dia tidak kisah akan hal ini. Sebab masa aku bersembang dengannya, dia macam nak tak nak je cerita fasal Awani kepada aku. Tak sangka, dia membantu juga sebenarnya. Setahun lepas, jauh betul masanya.

Ini kegembiraan yang terhebat dalam ekspedisi cintaku.

Alhamdulillah.

Dan semenjak itu, ibu rajin menghantar surat kepadaku. Di dalam surat itu, kami tidak banyak bersembang berkenaan Awani. Lebih kepada nasihat-nasihat seorang ibu kepada anaknya. Ibu sangat prihatin. Aku juga rasa tenang dan lapang. Ada ibu yang memerhatikan perjalanan cintaku dan boleh menegurku dalam hal ini. Aku pun tidak lagi gundah menyimpan rasa. Kalau ada apa-apa, aku luahkan sahaja kepada ibu.

Hidup aku sangat bahagia. Sentiasa berbunga ceria. Lagu-laguku pun dikatakan sangat mesra dan menghidupkan. Mando siap mencipta lagu untukku bertajuk - Awan.

Aku rasa, ekspedisi cintaku sudah hendak tiba ke penghujung.

*****

Hentian Ketujuh: Kalau tak dapat?

Di Sendai University, terdapat seorang akhawat yang amat solehah. Suaranya lembut, perawakannya sederhana dan dia sangat lah penyayang. Juga lurus bendul – tambahan daripada Mando.

Ibarat Zulaikha, dia menjadi perhatian ramai. Banyak lelaki melayu di Sendai ini yang jatuh hati padanya.

Di satu sisi lain, aku sering dikombinasikan dengan perempuan itu.

Namanya Israa’. Perempuan kacukan melayu arab. Memang sangat la cantik. Diiringi pula dengan akhlaknya yang sangat baik, ditambah pula dengan sikap penyayang dan mengambil berat, dia idaman semua lelaki. Satu-satunya perempuan bertudung labuh di jepun. Perempuan Islam terakhir katanya – tambahan daripada Mando lagi.

Oleh kerana aku merupakan orang yang sangat popular, aku sering digandingkan dengannya yang merupakan perempuan paling popular di kalangan masyarakat melayu, Indonesia, Singapura dan Brunei di sini.

“Amacam Israa’? kau patut nama Mikraj la” N atau namanya Yusuf Kamilen, teman indonesiaku, kaki penyakat terhebat di Jepun.

“Dah naik sidratul muntaha?” An, atau namanya Anwar, wakil penyakat terulung dari komuniti Malaysia.

Aku naik pening. Mujur mereka ni jenis kurang pendedahan kepada Islam. Kalau yang ada fikrah dan kefahaman Islam, budak agama, sudah aku tegur kerana bergurau dengan nama-nama penting dalam sirah dan Islam itu.

“Tu menung apa tu? Ingat pada Israa’ ke?” Mando menyakat. A… ini dah lebih. Sampai Mando pun masuk sama.

“Weh Mando, cinta aku satu je la. Awani tu ha”

“Tapi Awani tak kata dia suka pada kau.”

Aku diam. Betul. Aku tidak pernah berhubung dengan Awani. Hubungan aku dengan ibu dan ayah pun tidaklah aku juruskan kepada itu. Aku lebih menumpu kepada peningkatan diriku. Cuma kadangkala sahaja Ibu menyakat aku dengan anaknya di dalam surat.

“Habis, Israa’ lagi la. Aku tak cintakan dia, dan dia pun tak kata dia cinta kat aku”

“Israa’ lurus bai. Kau masuk je, dia terima.”

“Baik kau je masuk”

“Mana boleh. Mak aku dah tempah orang untuk aku.”

“Ha, sama la dengan aku”

“Mana sama”

“Kenapa pulak?”

“Perempuan yang mak aku dah tempah tu, suka aku. Kau lain. Awani tak kata dia suka kau.”

Aku diam lagi. Macam mana pusing pun, betul, aku tak tahu apa perasaan Awani pada aku. Tetapi kenapa aku ada keyakinan bahawa Awani adalah jodoh aku? Kenapa aku tidak tertarik mencari perempuan lain walaupun ada peribadi yang gayanya lebih hebat seperti Israa’ di hadapan mataku? Jangan kata suka, tertarik pun tidak. Walaupun saban kali diasak dengan gurauan orang, aku langsung tiada perasaan pada Israa’. Walau banyak kali berjumpa, walau banyak kali bekerjasama. Dia ibarat Zulaikha yang kedua, cuma antara kami tiada hubungan yang lebih dari teman sekerja dalam persatuan melayu di ini.

“Aku yakin, Awani jodoh aku” Dan jawapan itu sahaja yang keluar dari mulutku.

Aku amat amat amat cintakan Awani. Dia tiada ganti. Aku pun tidak tahu. Mungkin kerana apa yang aku lalui sepanjang hidupku selama ini, membuatkan aku rasa cintaku pada Awani amat berharga.

“sampai masa, aku bagitahu la dia. Lagi berapa bulan je nak habis belajar”

“Kalau masa tu dia tolak?” Mando melontar soal.

Dan kali ini aku diam, tidak lagi menjawab. Aku segera menulis surat pada ibu. Ibu senang lagi dengan surat. Dia bukan ibu milenium. Begitu juga dengan ayah. Tiada e-mail. Dan aku pun senang begini. Rasa nostalgia. Dan surat ibu yang harum itu aku buat koleksi di dalam almari.

Aku nyatakan pada ibu sekali lagi prinsip aku. Bahawa aku dengan ibu, hubungan kami tidak terbina kerana Awani. Hubungan aku dengan ibu, aku dengan ayah, terbina atas dasar keimanan kepada Allah. Ketika ini, aku mula nampak sesuatu.

Tiada apa yang pasti jika ia belum jadi realiti.

Dengan titisan air mata aku menulis, walaupun suara tulisanku jika dibaca mempamerkan rasa gembira.

Aku menangis kerana sembang-sembangku dengan Mando menyedarkan aku betapa aku kebelakangan ini seakan rasa pasti dapat pada Awani. Sedangkan, Allah jugalah yang mengaturkan jodoh aku. Mungkin pertemuan aku dan Awani hanyalah salah satu dari perhentian dalam hidupku sahaja.

Dan entah kenapa, tiba-tiba aku melihat ekspedisiku masih panjang pula.

Ekspedisi cinta, banyak pancaroba. Lebih-lebih lagi cinta yang hendak kubawa tembus ke syurga.

Bersedia untuk ditolak.

Namun jawapan dalam balasan surat ibu sebulan kemudian, menyatakan jangan risau. Ibu kata, ibu hendak tanyakan kepada Awani. Dan jawapan itu, menenangkan jiwaku.

InsyaAllah, Awani adalah jodoh aku.

Berulang kali aku menenangkan diriku.

Ya Allah, kasihanilah hambaMu ini. Kasihanilah.

Kugiatkan munajat. Allah dengan Mando, Allah lebih berkuasa.

Itu semestinya.

“Aku ini ya Allah, hidup hanya untuk redha-Mu. Aku mencintai Awani, agar Kau kepada aku. Aku bukan mencari redha-Mu kerana aku mencintainya. Aku mencintainya kerana hendakkan keluarga yang diredhai-Mu. Aku bina cinta ini begini kerana hendakkan redha-Mu. Maka kasihanilah aku ya Allah. Kasihanilah aku ya Allah. Jagalah diriku, dan sediakan diriku untuk menerima apa sahaja keputusan-Mu kepada aku”

****

Hentian Kelapan: Ini bukan drama, bukan novel, bukan cerpen, bukan fantasi

Satu hari, Umeir menghantar e-mail menyatakan ibu ingin bercakap.

Maka dengan Skype, kami berhubung sekali lagi. Adakah ibu hendak bercakap berkenaan aku dan Awani? Hatiku berdebar.

“Win, Win apa khabar?” Suara ibu lembut. Namun kurang ceria gayanya.

“Win sihat ibu. Ibu apa khabar? Ayah apa khabar?”

“Ibu ayah baik sahaja. Em, ibu nak cakap satu benda pada Win. Harap Win boleh mendengarnya”

Terasa keadaan ini pernah berlaku. Yakni semasa ibu bertanyakanku akan perasaan aku kepada Awani dahulu.

“Baik ibu. Apa sahaja. Ibu cakaplah. Win sedia” Aku sudah menghidu sesuatu. Sesuatu yang mungkin Ibu rasakan berat untuk aku.

“Sebenarnya Awani…”

Sebenarnya Awani…? Ibu macam agak sukar melafazkannya. Aku sudah bersedia untuk yang buruk-buruk sahaja.

“Sebenarnya Awani tak ada perasaan pun pada Win.”

Dan walaupun aku rasa aku telah bersedia, tetapi hatiku tetap seperti gelas pecah kerana terjatuh ke lantai. Namun kucuba mengawal diri. Nada bicara kugembirakan. Aku layari perbualan dengan Ibu. Ibu bicara penuh nasihat. Berkali-kali mengajak aku bermuhasabah melihat bahawa setiap aturan Allah ada hikmah. Ibu sangat baik. Aku dapat rasa dia juga bersedih.

Tamat perbualan dengan ibu, Mando masuk. Aku diam seribu bahasa.

“Masin mulut kau Mando” Aku memandangnya.

“Apa masin?” Mando duduk di sebelahku.

“Yang kau kata fasal Awani tak suka aku tu”

“Kenapa? Dia memang tak ada hati kat kau?”

Aku tidak mampu bersuara. Aku mengangguk sahaja. Tunduk. Cuba bertenang. Tetapi entah kenapa, seakan-akan separuh nyawaku tercabut. Sakit. Sakit sangat.

Aku memujuk diri. Redha Win, redha Win, redha. Sangka baik pada Allah, sangka baik pada Allah. Aku memejamkan mata serapat mungkin. Sudahku terlupa Mando di sebelahku. Redha, redha. Ya Allah, redhakan aku. Ya Allah… Allah…

Dan tiba-tiba tubuhku hangat. Kubuka mata, aku sudah dalam dakapan Mando. Kepalaku rapat pada dadanya.

“Sori sahabat, sori. Maafkan aku. Maaf”

Dan mata aku basah. Mengalir teramat deras.

Ekspedisi cintaku, begini kah?

Ternyata hidup realiti, tidak seperti kisah fantasi dalam novel atau cerpen yang pernah kubacai.

Mando erat memelukku. Seakan tidak mahu melepaskan.

“Maafkan aku sahabat, maafkan aku” Dia berulang kali meminta maaf. Mungkin rasa terlalu bersalah kerana menganggap dia telah mendoakan sesuatu yang buruk kepadaku.

Aku menggeleng dalam pelukannya. Air mataku ada yang terkesat pada bajunya.

“Terima kasih Mando”

Mando diam. Lagi erat memeluk. Aku perasan dia pun sebak. Mungkin dia merasai derita pahit yang sedang aku lalui.

“Terima kasih kenapa Win?” Dia bertanya, menahan sebak.

“Terima kasih sebab ingatkan aku akan kemungkinan hari ini akan berlaku.”

Sekurang-kurangnya, dengan pertanyaannya tempoh hari, aku telah bersedia. Menyiap gantungkan semua harapan hanya kepada Tuhan, menyediakan diri untuk menerima segala kemungkinan.

Dan ketika ini, tumpah air mata Mando. Kami sama-sama tenggelam dalam kesedihan.

Walaupun aku bersedia, aku bukan robot tanpa jiwa.

Pahit pedih tetap terasa.

Seperti tercabut separuh nyawa.

*****

Epilog: Ekspedisi cintaku yang sebenarnya…

Aku menggeleng. Tanpa sedar, pipiku basah. Ada air mata yang menitik pada surat terakhir ibu. Surat yang sampai sebulan lalu. Surat kali ke-lima selepas peristiwa pahit lalu.

Aku sudah ceria semula. Memang seminggu awal itu, rasa susah untuk hidup. Masa itu, banyak lagu sedih aku reka. Mando turut mencipta satu lagu untukku – Jaga Mulutmu Sahabat. Katanya, itu peringatan untuk dirinya. Nampaknya, walaupun berulang kali aku memaafkan, dia tetap rasa bersalah. Mando memang sahabat terbaik aku.

Aku menghela nafas. Surat terakhir ibu aku lipat.

Jam sudah hampir masuk pukul 5 pagi. Waktu Subuh sudah semakin hampir di Negara Matahari Terbit ini. Ada lagi lima belas minit. Sedar tidak sedar, aku langsung tidak tidur pada malam ini. Di tengah kesejukan winter, aku teringat kisah ekspedisi cintaku.

Aku mengambil telefon bimbit. Aku membuka bahagian message. Segera kutaip sesuatu:

Ibu, mlm ini Win x dpt tidur.

Win teringatkn Ibu. Tringatkn Awani.

Win masih cintakan dia.

Lalu kuhantarkan sms itu kepada ibu.

Kemudian aku bangun, dan bergerak menyucikan diri dengan wudhu’. Seterusnya, di atas sejadah aku menghabiskan waktu sebelum subuh.

Aku tidak pasti apa yang Allah aturkan kepada aku adalah satu tarbiyah agar aku belajar menerima kenyataan, atau hanya satu tarbiyah untuk menguji keyakinan. Tetapi ujian ini mematangkan aku. Malah, entah atas sebab apa, cintaku kepad Awani tambah mendalam selepas dia menolak aku.

Mungkin kerana, pada saat popularitiku memuncak, dan kebanyakan perempuan berusaha mendekatiku, dialah perempuan yang menolakku. Ibu kata, antara sebab kenapa Awani tidak boleh menerimaku, adalah kerana taraf hidup. Awani ingin kekal dengan kesederhanaan. Suci sungguh alasannya. Sedikit tidak terkesan dengan hartaku yang melimpah, populariti yang meningkat mahupun rupa wajah.

Jauh di sudut hatiku, aku masih merasakan bahawa Awani adalah jodohku.

Namun siapa tahu.

Mujur di tengah ekspedisi cintaku, aku memperbaharui defisini cinta, serta merombak asas dan dasarnya. Bukanlah kita mencari perempuan kirana itu untuk memenuhi kepuasan kita. Kita sebenarnya, mencari pasangan untuk membantu kita menggapai redha-Nya. Akhirnya, matlamat kita adalah redha-Nya. Jika dengan membawa matlamat ini sekemas mungkin, mempersiapkan diri untuk memenuhi tuntutan matlamat ini, dan akhirnya hubungan kita dengan orang yang kita suka tidak kesampaian, maka tidak perlu memanjangkan kesedihan. Kerna bukan perempuan matlamat kita. Matlamat kita adalah keredhaan Allah.

Siapakah Allah? Dialah Yang Maha Perkasa, Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Menyayangi, Yang Tidak Zalim, Yang Tidak Kedekut. Maka kalau cintaku dibangunkan atas keimanan, keyakinan dan kepercayaan kepada-Nya, kenapa aku hendak bersedih-sedih dengan keputusan-Nya? Bukankah Dia yang mengaturkan segala?

Jika tidak, mungkin aku kini salah satu dari yang membunuh diri dengan melompat bangunan di negara jepun ini. Negara Terjun Diri, bukan Negara Terbit Matahari – kata Mando.

Di sinilah aku nampak, kenapa cinta itu bukan dasarnya suka. Bukanlah juga cinta itu asasnya mengambil berat. Tidak juga cinta itu asasnya kasih sayang. Cinta, asasnya iman. Kerana cinta, adalah fitrah kehidupan manusia, dan kehidupan manusia adalah ibadah kepada Allah SWT.

Dan di titik inilah aku sedar, bahawa ekspedisi cintaku, bukan perjalanan mencari seorang wanita.

Tetapi ekspedisi cintaku, adalah mencari Rabb Yang Menguasai Dunia dan Mencipta Segala.

Dan itu adalah ekspedisi yang tidak akan berakhir, melainkan di akhirat sana.

Berkenaan aku dan Awani, aku serahkan pada Yang Membolak-balikkan Hati Manusia itu. Ini bukan fantasi yang sering happy ending. Bukan juga novel yang ada penamat. Ini hidup, yang masih bejalan dan belum tamat.

Sekurang-kurangnya, aku berusaha mencari isteri yang aku rasa mampu bersamaku menggapai redha-Nya, dan bersama aku membina keluarga yang mentaati-Nya.

Natijahnya?

Semuanya di tangan Dia.

Pencipta kepada cinta.

Destinasi ekspedisi cintaku yang sebenarnya.
Related Posts with Thumbnails